Letupan bom kelmarin dan serangan balas Israel mencetuskan ketegangan paling serius di Genting Gaza yang dikuasai Hamas sejak pergerakan Islam itu dan Israel berperang pada tahun 2014.

Tentera Zionis berkata, ia menyerang ‘18 sasaran pengganas’ milik Hamas dalam dua gelombang serangan udara selepas serangan bom tersebut.

“Lapan sasaran telah diserang di sebuah pekarangan tentera dekat Deir el-Balah yang merupakan milik Hamas termasuk beberapa infrastruktur untuk membuat senjata dan pusat latihan,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Rejim Zionis berkata, beberapa jet perangnya menyerang enam sasaran ketenteraan milik Hamas di Gaza termasuk sebuah terowong di kawasan Zaytun dan pekarangan tentera dekat Deir el-Balah serta Khan Yunis.

Tentera Israel turut melaporkan terdapat ‘pelancaran dikesan dari Genting Gaza ke dalam wilayah Israel’. Menurut seorang jurucakap polis Israel, bedilan roket itu mengakibatkan sebuah bangunan di selatan Israel rosak tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

Sementara itu, dua warga Palestin yang maut dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan Gaza sebagai Salam Sabah dan Abdullah Abu Sheikha, kedua-duanya berumur 17 tahun dan terbunuh di timur Rafah, selatan Gaza.

Menurut beberapa saksi, mereka mati ditembak tentera Israel berhampiran sempadan Gaza kelmarin.

Bercakap pada satu persidangan keselamatan di Jerman, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan serangan bom di sempadan Gaza-Israel itu sebagai amat serius dan berjanji akan “bertindak balas sewajarnya”.

Kelmarin empat askar Israel cedera dengan dua daripada mereka parah apabila sebutir bom buatan sendiri meletup di pagar sempadannya dengan Gaza. 
– AFP