Netanyahu menyampaikan mesej itu dalam satu rundingan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin beberapa jam selepas Israel menembak jatuh sebuah dron dipercayai milik Syria yang masuk ke ruang udaranya.

Israel berkata, sebuah dron Syria yang tidak dilengkapi senjata tetapi direka bentuk sebagai alat pengawasan memasuki ruang udaranya tetapi berjaya ditembak jatuh dengan menggunakan misil Patriot berhampiran Laut Galilee kelmarin.

Pemintasan misil itu mencetuskan siren di bukit Golan berhampiran sempadan Jordan.

“Kami masih menyiasat mengapa dron itu masuk ke ruang udara Israel, sama ada merupakan misi tentera, menyeberangi dengan tujuan atau tersesat,” kata jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Jonathan Conricus.

Bagaimanapun, menurutnya, kejadian dron sesat jarang berlaku.

Israel mengambil langkah berjaga-jaga ketika pasukan tentera Assad mengerahkan tenteranya di sekitar Bukit Golan yang ditawan Israel dari Syria pada tahun 1967.

Sebaliknya, langkah Israel itu tidak diiktiraf antarabangsa.

“Kami tidak akan mengambil tindakan ke atas rejim Assad,” kata jurucakap Netanyahu, David Keyes. – Reuters