Israel menyatakan pihak­nya membalas dengan kira-kira 100 bedilan artileri kelmarin selepas Hezbollah melancarkan dua atau tiga misil antikereta kebal ke sebuah ibu pejabat batalion dan ambulans tentera, ter­kena kedua-dua sasaran.

Pihak berkuasa Israel menafikan dakwaan oleh pergerakan yang disokong Iran bahawa mereka telah membunuh serta mencederakan semua yang berada ken­deraan ketenteraan, dengan mengatakan tiada yang terkorban.

“Kami masih berunding mengenai langkah seterus­nya,” kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

“Saya sudah mengarahkan agar kami bersedia untuk apa-apa situasi.”

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meminta semua pihak mengekang diri dan Perancis menyatakan pihaknya membuat ‘pelbagai hubungan’ untuk menghindari satu peningkatan ketegangan.

Amerika Syarikat (AS) menyuarakan kebimbangan berhubung peranan me­nyahstabil oleh proksi Iran di wilayah berkenaan dan menyatakan sokongan tindakan mempertahankan diri oleh Israel, kata seorang pegawai di Jabatan Negara.

“Hezbollah harus mengekang diri daripada tindakan bermusuhan yang mengancam keselamatan Lebanon, kestabilan dan kedaulatan,” kata pegawai itu.

Terdahulu, Perdana Menteri Lebanon, Saad Hariri menghubungi pegawai-pegawai kanan AS dan Perancis dan meminta negara mereka serta komuniti antarabangsa untuk campur tangan.

Hezbollah menyatakan pejuang-pejuangnya telah memusnahkan satu kende­raan ketenteraan di sebatang jalan ke pangkalan Avivim, membunuh dan mencederakan mereka di dalamnya.

Stesen televisyen mereka, Al-Manar TV melaporkan kumpulan itu menyasarkan sebuah kenderaan perisai Wolf yang boleh memuatkan lapan askar. – AFP