Jurucakap pihak berkuasa imigresen memberitahu AFP, pada awal petang semalam, hampir separuh daripadanya telah dibebaskan dan Perkhidmatan Penjara Israel berkata, operasi itu tamat dalam tempoh sehari.

Terdapat kira-kira 42,000 migran Afrika di Israel. Pihak berkuasa telah memindahkan 207 daripadanya dari kemudahan tahanan terbuka yang berdekatan pada bulan Februari selepas mereka enggan meninggalkan negara itu.

“Dalam rundingan antara Israel dan negara ketiga yang masih dijalankan dan berikutan keputusan Mahkamah Agung, migran yang ditahan di penjara Saharonim akan dibebaskan hari ini (semalam),” kata pihak imigresen dalam satu kenyataan awal.

Pada Jumaat lalu, Uganda berkata, ia telah menimbangkan secara positif cadangan dari Israel untuk menerima 500 orang pendatang yang kebanyakannya dari Eritrea dan Sudan.

Pada awal bulan ini, Netanyahu membatalkan perjanjian dengan Suruhanjaya Tinggi PBB Bagi Pelarian (UNHCR), bertujuan untuk mengelakkan penghantaran pulang beribu-ribu migran.

Daripada 42,000 migran Afrika di Israel, separuh daripadanya adalah kanak-kanak, wanita atau lelaki dengan keluarga yang tidak berhadapan penghantaran pulang segera, menurut kementerian dalam negeri.

Migran mula memasuki Israel melalui sempadan Mesir pada 2007. Sejak itu, kawalan di kawasan sempadan tersebut telah diperketatkan bagi menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin. - AFP