“Sekolah-sekolah hanya perlu menggunakan rangkaian media sosial domestik untuk berkomunikasi,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Aplikasi Telegram merupakan rangkaian sosial paling popular di Iran. Pada 2017, aplikasi itu mendakwa ia mempunyai 40 juta pengguna bulanan di negara tersebut.

Selain itu, laman sosial bergambar Instagram juga popular dan syarikat-syarikat di Iran sering menggunakan kedua-dua platform berkenaan untuk berkomunikasi dengan para pelanggan.

Facebook dan Twitter disekat di Iran, tetapi ia mudah diakses menggunakan rangkaian peribadi maya.

Menurut IRNA, Menteri Telekomunikasi, Mohammad Javad Azari Jahromi baru-baru ini menjanjikan bahawa rangkaian Iran akan menawarkan jaminan kerahsiaan sama seperti platform asing.

“Tiada mesej dibaca dan tiada maklumat peribadi didedahkan kepada sesiapa,” katanya kepada parlimen.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke laman webnya, Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berkata, kerajaan harus menjamin ‘keselamatan dan privasi’ rakyat di internet. - AFP