Gempa itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 450 orang terkorban, manakala ribuan lagi cedera.

Stesen televisyen tempatan memaparkan rakaman pekerja-pekerja penyelamat menggeledah di celah-celah runtuhan berpuluh-puluh buah kampung selepas gempa berlaku.

Beberapa pegawai Iran bagaimanapun berkata, peluang menemui mangsa yang masih hidup amat tipis.

“Operasi menyelamat di wilayah Kermanshah telah berakhir,” kata ketua Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Iran, Pir-Hossein kepada stesen televisyen Iran.

Gempa bumi bermagnitud 7.3 itu menggegarkan sejumlah kampung dan bandar di kawasan pergunungan di Kermanshah yang bersempadan dengan Iraq ketika penduduk sedang tidur di kediaman mereka.

Sekurang-kurangnya 14 wilayah di Iran terjejas dalam bencana itu.

Stesen televisyen Iran melaporkan, ribuan penduduk kini berlindung di kem-kem sementara, manakala ramai lagi bermalam di kawasan terbuka kerana bimbang lebih banyak gegaran berlaku selepas 193 gempa susulan.

Seorang wanita di Sarpol-e Zahab, salah sebuah bandar pa­ling teruk terjejas memberitahu stesen televisyen Iran bahawa keluarganya terdedah kepada cuaca sejuk waktu malam kerana kekurangan khemah.

“Kami perlukan bantuan. Kami perlu semuanya. Pihak berkuasa sepatutnya menyegerakan bantuan,” katanya.

Lebih 30,000 buah rumah di kawasan itu rosak dan sekurang-kurangnya dua buah kampung musnah sepenuhnya, kata pihak berkuasa Iran.

Gempa berpusat di Penjwin dalam wilayah Sulaimaniyah di Kurdistan itu turut meragut sekurang-kurangnya enam nyawa di Iraq dan mencederakan lebih 68 yang lain.

Di beberapa daerah Kurdis, uta­ra Iraq pula, seramai tujuh orang maut dan 325 cedera. – Reuters