Angka itu menjadikan Instagram sebagai platform keempat Facebook yang berjaya mencecah bilion pengguna bersama-sama aplikasi mesej WhatsApp dan Messenger.

Berdasarkan laporan suku tahun pertama, Facebook sendiri mempunyai 2.19 bilion pengguna aktif.

Instagram yang mempunyai lebih 800 juta pengguna pada September lalu, meninggalkan pesaing laman sosial lain seperti Twitter dan Snapchat serta semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna muda berbanding Facebook yang menca­tatkan penurunan dalam segmen belia.

Ketua Eksekutif Instagram, Kevin Systrom turut mengumumkan satu lagi pencapaian apabila memperkenalkan aplikasi video baharu dikenali sebagai IGTV.

“Sekarang kami mempunyai satu komuniti dengan satu bilion pengguna.

“Sejak dilancarkan pada tahun 2010, kami menyaksikan dengan kagum komuniti itu berkembang maju,” katanya ketika satu majlis di San Francisco.

Sebagaimana Facebook sendiri yang bergerak lebih jauh menerusi video, Instagram menerusi IGTV dilihat akan menjadi saingan langsung terhadap YouTube.

IGTV membolehkan mana-mana pengguna memuat naik video bentuk panjang dan mempunyai ciri-ciri seperti channel atau saluran mirip format digunakan YouTube yang dimiliki Google dan te­lah menghasilkan banyak bintang YouTube.

“Sesiapa sahaja boleh menjadi pembuat video, kamu boleh memuat naik video IGTV yang dirakam sendiri di dalam aplikasi atau laman web untuk memulakan saluran anda sendiri,” tambah Systrom. – AFP