Indonesia secara tradisinya keberatan untuk dilihat bergantung kepada bantuan luar bagi menangani bencana alam, malah pemerintah negara itu menolak bantuan asing selepas gempa bumi menggegarkan Pulau Lombok tahun ini.

Bagaimanapun, Jakarta menerima bantuan luar negara bagi menangani situasi selepas gempa bumi kuat bermagnitud 7.5 dan tsunami melanda pantai barat Sulawesi pada 28 September lalu.

Begitupun, sesetengah kumpulan bantuan asing menyatakan bahawa mereka berdepan kesukaran untuk mendapatkan permit kemasukan bagi membawa masuk staf dan peralatan, manakala peraturan Jakarta itu mengundang kekeliruan.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), kumpulan bantuan asing ‘tidak dibenarkan pergi sendiri ke zon bencana’ dan perlu melakukan segala aktiviti secara perkongsian dengan agensi atau pertubuhan tempatan.

“Warga asing yang bekerja untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing tidak dibenarkan melakukan sebarang aktiviti di kawasan bencana.

“NGO asing yang telah mengerahkan kakitangan mereka dinasihatkan supaya segera menarik semula mereka keluar,” kata BNPB dalam notis bahasa Inggerisnya.

Sementara itu, angka korban rasmi di Sulawesi kekal 1,948 orang semalam dengan keba­nyakan kematian berlaku di Palu, bandar yang paling teruk terjejas akibat bencana berkembar itu.

Tiada siapa tahu berapa ramai orang yang hilang terutamanya di kawasan selatan Palu yang musnah akibat ‘pencairan’ tanah, namun ia mungkin seramai 5,000 orang, kata BNPB.

Pemerintah menyumbangkan dana berjumlah 560 bilion rupiah (RM154 juta) untuk membantu mangsa gempa bumi dan menyatakan bahawa kira-kira 20 negara menawarkan bantuan kepada Jakarta. – Reuters