Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi juga mengusul satu rang undang-undang untuk membahagikan wilayah itu kepada dua rantau yang akan diperintah secara langsung oleh New Delhi.

Menteri Dalam Negeri, Amit Shah, sekutu rapat Modi, memberitahu Parlimen bahawa presiden India sudah menandatangani satu perintah memansuhkan Artikel 370 Perlembagaan yang memberi kuasa autonomi istimewa kepada rantau Himalaya itu.

Menurut perintah itu, langkah berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Kashmir dibahagikan antara India dan Pakistan selepas kedua-dua pihak mencapai kemerdekaan pada tahun 1947.

Bekas ketua menteri Kashmir, Mehbooba Mufti menerusi Twitter menggambarkan langkah terbaharu itu sebagai hari-hari kegelapan demokrasi India.

Keputusan unilateral kerajaan India untuk memansuhkan Artikel 370 adalah tidak sah dan tidak mengikut Perlembagaan yang akan menjadikan India kuasa penjajah di Jammu dan Kashmir,” katanya.

Artikel 370 Perlembagaan India memberi status khas kepada negeri Jammu dan Kashmir. Ia mengehadkan kuasa Parlimen India untuk mengenakan undang-undang di dua negeri itu, selain aspek pertahanan, hal ehwal asing dan komunikasi.

Sebelum itu, kerajaan India mengenakan langkah keselamatan perintah berkurung di sebahagian wilayah Kashmir yang ditadbir New Delhi, mendakwa ada ancaman keganasan.

Ketegangan terbaharu di wilayah itu bermula sejak 10 hari lepas selepas New Delhi menghantar kira-kira 10,000 askar.

Satu sumber keselamatan menyatakan tambahan 70,000 lagi askar sudah dihantar.

Wilayah Himalaya itu menjadi tumpuan selepas satu serangan ke atas konvoi separa tentera India beberapa bulan didakwa dilancarkan oleh kumpulan berpangkalan di Pakistan.

“Mengikut arahan, tiada pergerakan orang awam dan semua institusi pendidikan harus kekal ditutup,” menurut arahan kerajaan negeri untuk Srinagar, ibu kota wilayah Kashmir yang ditadbir India, dan kawasan di sekelilingnya.

“Terdapat larangan penuh untuk sebarang pertemuan awam atau rali sepanjang tempoh operasi arahan ini.”

Kementerian Luar Pakistan mengutuk tindakan itu sebagai haram.

“Pakistan akan ambil semua kemungkinan yang ada untuk menangani tindakan-tindakan tidak sah ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Seorang pegawai kanan pasukan keselamatan Pakistan menyatakan satu mesyuarat peringkat atasan membabitkan komander tentera Pakistan akan diadakan hari ini.

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan kelmarin menuduh India mengambil langkah-langkah agresif baharu dengan mengatakan ia boleh menyebabkan berlaku satu krisis wilayah.

“Akan ada tindak balas kuat di Kashmir. Ia sudah berada dalam keadaan bergolak dan ini hanya akan memburukkan lagi ke­adaan,” kata Wajahat Habibullah, seorang bekas birokrat kanan di Jammu dan Kashmir. 
– AFP