Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al-Maktoum memuji sokongan Ardern kepada masyarakat Islam selepas seorang pengganas kulit putih membunuh 50 jemaah di dua masjid itu pada 15 Mac lepas.

“Terima kasih PM @jacindaardern dan New Zealand kerana empati ikhlas dan sokongan anda yang mendapat sanjungan 1.5 bilion orang Islam selepas serangan pengganas yang menggemparkan umat Islam di seluruh dunia,” kata Sheikh Mohammed dalam satu kenyataan menerusi Twitter.

Sekeping gambar daripada Pejabat Diplomasi Awam Dubai menunjukkan bangunan Burj Khalifa diterangi gambar Ardern memakai tudung dan sedang memeluk seorang wanita yang terjejas akibat tragedi itu bersama perkataan bermaksud ‘keamanan’ dalam bahasa Arab dan Inggeris.

Ardern menerima pujian meluas kerana cara beliau menangani tragedi itu termasuk mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli keluarga mangsa dan segera mengetatkan undang-undang senjata api di samping menggembleng usaha global dalam memerangi ekstremisme atas talian. – AFP