Wanita itu melepaskan tembakan kerana menyangka terdapat penceroboh di kediamannya.

Gadis tersebut, Hannah Jones yang pulang dari kolej, ditembak pada tangan tetapi akan pulih.

Insiden itu berlaku pada 30 Ogos lalu di Girard, Ohio, lapor stesen televisyen tempatan, WFMJ.

Ibunya memiliki sepucuk pistol jenis Revolver berlesen dan bersendirian di rumah apabila dia mendengar bunyi dari arah dapur atau ruang tengah, kata ketua polis tempatan, John Norman kepada stesen televisyen tersebut.

“Dia berkata bahawa pintu bilik tidur tempatnya berada terbuka. Wanita itu yang meme­gang sepucuk pistol, melepaskan satu das tembakan ke arah seseorang yang masuk melalui pintu tersebut,” kata Norman.

Dia terkejut apabila mendapati mangsa yang tertembak adalah anak perempuannya, tambah ketua polis itu.

Menurutnya lagi, pejabat pendakwa raya daerah akan menentukan sama ada akan mengemukakan pendakwaan terhadap wanita tersebut.

Ramai rakyat AS memiliki senjata api, manakala pemilikannya dibenarkan di bawah perlembagaan negara.

Kira-kira 40,000 orang mati akibat terkena tembakan senjata api pada tahun 2017, demikian menurut statistik kerajaan. 
– AFP