Tiada pihak mengaku bertanggungjawab tetapi kumpulan Taliban menafikan sebarang penglibatan dalam serangan itu yang berlaku berdekatan Agensi Suara Afghanistan, pusat media yang menurut laporan awal, menjadi sasaran letupan tersebut.

Timbalan Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Rasrat Rahimi berkata, siri letupan itu sebenarnya menyasarkan pusat kebudayaan Syiah Tabayan.

“Satu sambutan diadakan bagi memperingati ulang tahun ke-38 pencerobohan Soviet ke atas Afghanistan apabila letupan berlaku.

“Seramai 40 orang terbunuh, 30 lagi cedera, namun ini bukan angka muktamad. Angka korban mungkin meningkat,” katanya.

Menurut Rasrat, satu letupan kuat berlaku diikuti dua letupan bom lebih kecil yang tidak mengakibatkan kemalangan jiwa.

Kabul menjadi salah satu tempat paling berbahaya sejak beberapa bulan kebelakangan ini ketika Taliban meningkatkan serangan mereka, manakala militan Daesh pula cuba memperluaskan pengaruhnya di negara bergolak itu.

Serangan semalam berlaku beberapa hari selepas seorang pengebom berani mati membunuh enam orang awam dalam satu serangan berhampiran agensi perisikan Afghanistan di Kabul yang dilakukan militan Daesh.

Seorang pegawai hospital memberitahu stesen televisyen tempatan bahawa 18 mang­sa yang cedera telah dibawa ke hospital.

“Lima daripada mereka berada dalam keadaan kritikal dan doktor berusaha untuk menyelamat nyawa mangsa,” kata Ketua Hospital Istiqlal, Sabir Nasib. 
– AFP