Hampir 73,000 kes kebakaran hutan direkodkan antara Ja­nuari hingga Ogos 2019 berbanding 39,759 kebakaran bagi keseluruh­an tahun lalu, kata Institut Kajian ­Angkasa Kebangsaan (INPE) lewat Isnin lalu.

Ia merupakan jumlah kebakaran hutan tertinggi untuk mana-mana tahun sejak tahun 2013 dan disusuli penurunan selama dua tahun.

“Apa yang kita saksikan ini adalah kesan daripada peningkatan aktiviti penebangan hutan sejak kebelakangan ini,” kata ketua Program Amazon Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), Ricardo Mello.

Kebakaran hutan kerap berlaku sepanjang musim panas yang ber­akhir pada hujung bulan Oktober atau awal November ketika tanah diratakan bagi tujuan pertanian atau dijadikan kawasan ragut.

Bencana itu menyebabkan asap tebal naik ke udara dan menyelubungi beberapa buah bandar di Brazil sejak beberapa hari lalu sehingga memaksa laluan penerbang­an dilencongkan.

Statistik terbaharu itu diumumkan ketika Bolsonaro dikritik ekoran retorik antialam sekitar­nya, yang mendorong pembalak, pelombong dan petani menjadi lebih berani untuk melakukan ke­rosakan termasuk pembakaran di Hutan Amazon.

Menurut INPE, Brazil menca­tatkan kes kebakaran hutan paling banyak di rantau Amazon tahun ini diikuti oleh Venezuela dengan 26,453 kes dan Bolivia yang mencatatkan 16,101 kebakaran hutan. – AFP