Saiz kemusnahan itu bersamaan kira-kira 10 kali ganda saiz kota raya London.

Aktivis-aktivis alam sekitar menyalahkan Presiden Evo Morales kerana menggalakkan pembakaran terbuka di kawasan hutan untuk tujuan pertanian, namun kerajaan Bolivia pula mengatakan bahawa kebakaran itu disebabkan oleh cuaca kering dan angin kencang.

“Daripada semua kebakaran hutan setakat ini, 41 peratus berlaku di kawasan hutan yang dilindungi,” kata Menteri Alam Sekitar, Cinthia Asin pada satu sidang akhbar.

Rantau Santa Cruz adalah yang paling teruk terjejas di Bolivia sejak kebakaran itu bermula pada Mei tahun ini dan semakin marak menje­lang akhir Ogos lalu.

Kerajaan Bolivia baru-baru ini memberi kelulusan kepada petani untuk membakar kawasan seluas 20 hektar se­rentak berbanding hanya 5 hektar sebelum ini, dipercayai menyumbang kepada beribu-ribu kebakaran hutan.

Dalam perkembangan ber­kaitan, kerajaan Bolivia menyatakan bahawa pihaknya giat meneruskan usaha untuk me­madamkan api termasuk usa­ha di darat dan dari udara.

Menteri Luar, Diego Pary berkata, La Paz membelanjakan AS$11 juta (RM46 juta) bagi memadamkan kebakaran itu, manakala dana tambahan AS$2 juta (RM8.4 juta) diterima daripada masyarakat antarabangsa.

Sebuah pesawat SuperTanker Boeing 747 yang mampu membawa 75,000 liter air, beberapa helikopter dan kira-kira 4,000 anggota bomba, polis dan tentera kini bertungkus-lumus untuk memadamkan api. – AFP