Pihak berkuasa melancarkan siasatan selepas penduduk setempat melaporkan ‘beratus-ratus serpihan kecil’ itu terjatuh dari sebuah pesawat milik syarikat penerbangan Norway.

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Fiumicino di sini pada Sabtu lalu.

Seorang saksi memberitahu akhbar Itali, Il Messaggero: “Serpihan-serpihan besi jatuh seperti peluru. Baju saya terbakar!”

Kebanyakan serpihan itu jatuh di kejiranan Isola Sacra dan bertaburan di laman rumah penduduk.

Seorang lagi saksi berkata: “Ia kelihatan seperti hujan ais tetapi cuaca ketika itu cerah. Saya keluar ke balkoni dan mendapati ia adalah hujan keluli dan besi. Saya menjerit lalu berlari masuk ke dalam rumah.”

Menurut pihak berkuasa, sebanyak 25 buah kereta dan 12 kediaman mengalami kerosakan dalam kejadian itu.

Seorang lelaki berusia 54 tahun turut ditimpa objek keras tersebut tetapi tidak mengalami kecederaan serius. Mangsa berkata, dia ‘beruntung kerana masih hidup.’

Datuk Bandar Fiumicino, Esterino Montino mengesahkan kejadian tersebut di akaun Facebooknya dan menggesa tindakan segera diambil bagi mengelak situasi serupa daripada berulang.

“Sekitar pukul 4.40 petang (waktu tempatan) pada Sabtu lalu, sebuah pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Fiumicino mengalami kerosakan dan terpaksa berpatah balik.

“Bagaimanapun, ia kehilangan kepingan-kepingan besi yang jatuh pada kelajuan tinggi ke tanah di Isola Sacra,” katanya.

Sementara itu, seorang jurucakap syarikat penerbangan Norway tersebut berkata, penerbangan dari Rom ke Los Angeles itu terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang di Fiumicino selepas satu enjinnya rosak. – Agensi