Ahed Tamimi ditahan pada 19 Di­sember lalu selepas dia dirakam bersama sepupunya, Nour Tamimi di belakang rumah mereka di Nabi Saleh, dekat Ramallah menyuruh dua askar Israel pergi sebelum menolak, menendang dan menampar mereka.

Gadis tersebut berusia 16 tahun ketika kejadian dan menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-17 di dalam penjara.

Dia ditolak untuk diikat jamin ketika ditahan dan dibicarakan di sebuah mahkamah tentera Israel atas tuduhan menyerang, membaling batu, menghasut untuk bertindak ganas dan membuat ancaman.

Pada 21 Mac, mahkamah bersetuju dengan rayuan supaya dia dipenjarakan lapan bulan bermula daripada tempoh dia ditahan. Mahkamah sama membebaskan Nour dengan segera selepas dia membuat rayuan.

Ahed lahir daripada sebuah keluarga aktivis terkemuka dan pernah terlibat dalam beberapa siri insiden dengan gambarnya berdepan tentera tersebar dengan luas, namun video yang menjadi viral menyebabkan dia menjadi simbol konflik Israel-Palestin.

Kepada Palestin, dia merupakan hero, dipenjara kerana menentang pendudukan tentera ke atas tanah airnya dan pencerobohan rumah keluarganya.

Hari ini, Ahed dijangka kembali menjadi tumpuan dengan satu sidang akhbar akan diadakan di rumahnya selepas dia dibebaskan. – AFP