Lukisan berjudul The Seated Man itu disahkan milik Michelangelo oleh pakar seni Renaissance Itali, Sir Timothy Clifford dan dipercayai dilukis pada tahun 1487 ketika seniman itu berusia 12 atau 13 tahun.

Lukisan itu kini dimiliki seorang pengumpul dari Britain yang enggan dikenali selepas dia membelinya di satu majlis lelongan di Perancis pada tahun 1989 tanpa mengetahui siapa pelukisnya.

Pengumpul itu kemudian menghubungi Timothy selepas seorang lagi pakar sejarah, Miles Chappell memberi gambaran kononnya lukisan itu mungkin hasil tangan Michelangelo.

“Lukisan ini adalah lakaran paling awal Michelangelo, mungkin satu atau dua tahun lebih awal daripada mana-mana hasil seninya yang dikenal pasti sebelum ini,” jelas Timothy.

Penemuan itu juga dianggap mengejutkan kerana Michelangelo mempunyai kecenderungan memusnahkan lukisan yang sudah tidak mahu disimpan, malah dia didakwa pernah membakar sejumlah besar hasil seninya sebelum meninggal dunia. - Agensi