Angka korban yang diumumkan oleh pegawai tentera Turki dalam dua kenyataan berasingan itu menjadikan semalam antara hari paling berdarah buat An­kara sejak ia melancarkan ope­rasi rentas sempadan bagi meme­rangi Unit Perlindungan Rakyat (YPG) di Afrin, Syria pada 20 Januari lalu.

“Sebagai sebahagian daripada operasi di Afrin, lima wira kami tumbang dan tujuh yang lain cedera,” kata pegawai berkenaan dalam kenyataan pertamanya.

Tidak lama kemudian, beliau mengeluarkan satu lagi kenya­taan mengumumkan bahawa tiga askar Turki maut, manakala enam lagi cedera tanpa memberikan butiran mengenai punca kematian mereka.

Angka kematian kelmarin menjadikan bilangan askar Turki yang terbunuh sepanjang operasi itu yang dinamakan ­Olive Branch, meningkat kepada sekurang-kurangnya 40 orang.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan diberitahu tentang korban terbaharu itu semasa beliau melakukan lawatan ke Senegal.

Ankara menganggap YPG sebagai pertubuhan pengganas yang mempunyai hubungan rapat dengan Parti Pekerja Kur­distan (PKK), kumpulan yang me­lancarkan perang gerila ber­darah di tanah air Turki sejak tahun 1984.

Namun, YPG disokong oleh Amerika Syarikat dan menge­tuai pakatan antarabangsa tersebut dalam memerangi kumpulan Daesh di Syria.

Situasi di Afrin menjadi bertambah rumit sejak 10 hari lalu susulan ketibaan pejuang prorejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad bagi membantu militia YPG.

Beberapa pemerhati politik memberi amaran perkembangan itu akan meningkatkan risiko perang antara Ankara dan Damsyik. – AFP