TRUMP
TRUMP

Beberapa laporan di Washington membayangkan Presiden AS, Donald Trump akan menunaikan janji kempennya untuk memindahkan kedutaan AS ke Baitulmuqaddis hari ini.

Kedutaan AS seperti juga kedutaan-kedutaan luar lain di Israel, terletak di bandar Te Aviv.

“Kami memberi amaran terhadap langkah tersebut dan menggesa warga Palestin supaya menghidupkan semula intifada sekiranya keputusan tidak adil berhubung Baitulmuqaddis diguna pakai,” kata Hamas dalam satu kenyataan.

“Sebarang keputusan untuk memindahkan kedutaan AS ke sana merupakan serangan terang-terangan ke atas Baitulmuqaddis oleh Washington dan memberikan Israel alasan untuk meneruskan jenayah ‘mengyahudikan’ bandar itu dan mengusir penduduk Palestin,” tambahnya.

Status kota Baitulmuqaddis menjadi isu utama dalam konflik Israel-Palestin.

Kedua-dua warga Israel dan Palestin menuntut kota itu sebagai ibu negara mereka, manakala pelan damai sebelum ini gagal ekoran perbalahan tentang sama ada atau bagaimana untuk membahagikan kedaulatan tempat suci itu yang menempatkan Masjid Al-Aqsa.

Intifada terakhir yang meragut 3,000 nyawa penduduk Palestin dan 1,000 warga Israel tercetus disebabkan oleh lawatan pemimpin Israel, Ariel Sharon ke pekarangan Masjid Al-Aqsa dalam tahun 2000.

Dalam perkembangan berkaitan, pejabat Presiden Palestin memberitahu agensi berita AFP bahawa pengiktirafan AS ke atas Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel akan menghancurkan proses damai Asia Barat. – AFP