Menurut laporan, sebatang gigi geraham didapati ‘hilang’ dalam mulut pesakit berumur 13 tahun itu tetapi tumbuh dalam salah satu testikelnya.

Pakar bedah di Hospital Kanak-Kanak Morozov di sini mengakui mereka tergamam dengan penemuan itu. Mereka percaya bahawa remaja berkenaan tetap akan menikmati tahap kesihatan pembiakan yang baik ketika usia meningkat.

Testikel ialah organ berbentuk bujur di dalam kerandut membantu penghasilan hormon testosteron bagi nafsu seks dan sperma.

Kejadian ganjil itu dipercayai sejenis tumor teratoid yang berlaku sebelum pesakit itu lahir dan berpunca akibat kegagalan stem sel atau masalah proses genetik, menurut pakar perubatan.

Pembedahan itu diketuai oleh pakar bedah Dmitry Tarusin.

“Gigi tersebut ialah gigi geraham kedua atau (gigi) ketujuh pada rahang atas,” menurut pihak hospital itu dalam satu kenyataan.

“Gigi itu lazimnya digantikan dengan gigi kekal ketika seseorang kanak-kanak mencapai usia 10 hingga 12 tahun.”

Satu imbasan X-ray yang dilakukan menunjukkan kehadiran objek seakan-akan batu kerikil dalam testikel. Doktor kemudiannya memutuskan untuk melakukan pembedahan ke atas pesakit itu secepat mungkin.

“Pembedahan membuktikan bahawa gigi ketujuh sebenar, gigi geraham, tumbuh dalam testikel dan salah satu gigi geraham itu didapati hilang pada rahang pesakit.

“Bidang sains pergigian pernah bertemu (kes) gigi tumbuh dalam paru-paru. Bagaimanapun, sebatang gigi tumbuh dalam testikel adalah satu kes luar biasa.” - Agensi