Beberapa pesawat tempur dan tembakan meriam memusnahkan sebahagian besar bandar itu sejak Isnin lalu mengakibatkan beribu-ribu keluarga terpaksa ditempatkan di pusat perlindungan.

Kuasa-kuasa pemimpin dunia dilihat gagal menyokong rayuan seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk melaksanakan langkah gencatan senjata selama sebulan bagi membenarkan penghantaran bantuan dan perubatan.

Serangan pengeboman yang dite­ruskan di bandar Ghouta Timur sejak kelmarin menyebabkan 13 lagi orang awam terbunuh, menurut kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria.

Dalam pada itu, sekurang-kurang­nya enam terbunuh di sini termasuk dua kanak-kanak.

“Terdapat lapan keluarga yang tinggal di kejiranan ini. Pesawat itu membedil beberapa rumah menyebabkan sekurang-kurangnya setiap seorang penduduk keluar dengan kesan kece­deraan atau terbunuh,” kata seorang penduduk berusia 29 tahun, Abu Ezzo.

Pelbagai serangan turut dilancarkan sekali gus turut menyebabkan tujuh orang awam terbunuh di Erbin dan pasukan perubatan menyifatkan serangan itu dilancarkan secara bertubi-tubi tanpa henti.

Ghouta Timur merupakan tempat tinggal kepada kira-kira 400,000 penduduk yang terperangkap akibat kepungan kerajaan sejak tahun 2013.

Beberapa pegawai bantuan PBB pada awal minggu ini menggesa supaya langkah gencatan senjata dilaksanakan selama sebulan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada mangsa-mangsa yang cedera. – AFP