Lebih 550 orang awam dengan hampir satu perempat daripadanya kanak-kanak, terbunuh sepanjang minggu lalu selepas tentera kerajaan Syria melancarkan serangan baharu ke atas kedudukan pemberontak di Ghouta Timur, dekat Damsyik.

Serangan itu merupakan antara episod pertumpahan darah terburuk dalam perang saudara di Syria yang berlanjutan selama tujuh tahun.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan satu resolusi pada Sabtu lalu untuk mendesak gencatan senjata 30 hari diadakan di Syria, namun ia tidak dihiraukan oleh Moscow.

Rusia yang merupakan penyokong utama rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad sebaliknya mengadakan terma gencatan senjatanya sendiri.

Susulan tekanan antarabangsa, Rusia berkata bahawa ia akan mengarahkan gencatan senjata pendek selama lima jam pada setiap hari bermula pada pukul 9 pagi semalam (waktu tempatan) untuk membolehkan penduduk awam melarikan diri menerusi “koridor kemanusiaan”.

Orang awam akan dimaklumkan menerusi risalah dan mesej teks, manakala bas dan ambulans akan menunggu di sebuah persimpangan jalan untuk memindahkan mereka yang jatuh sakit atau cedera, kata Moscow.

Gencatan senjata jangka pendek itu berkemungkinan menjadi peluang pertama untuk penduduk Ghouta Timur melarikan diri dari tempat perlindungan di bawah tanah susulan pengeboman tanpa henti yang mencetuskan kemarahan antarabangsa.

“Gencatan senjata lima jam lebih baik daripada tiada langsung tetapi kami ingin menyaksikan penamatan pertempuran dilanjutkan selama 30 hari seperti diminta oleh Majlis Keselamatan,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric.

Washington yang menyokong pemberontak Syria menentang Damsyik, membidas gencatan senjata tajaan Rusia itu.

“Rusia mempunyai pengaruh untuk menghentikan operasi tentera ini (di Ghouta Timur) sekiranya ia memilih untuk melaksanakan tanggungjawabnya di bawah gencatan senjata Majlis Keselamatan PBB,” kata jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Heather Nauert dalam satu kenyataan di laman Twitter.

Kumpulan pemberontak di Ghouta Timur, Faylaq Al-Rahman turut mengkritik inisiatif Rusia itu.

“Memaksa orang awam melarikan diri atau berdepan kematian akibat pengeboman ataupun kepungan merupakan jenayah Rusia,” kata jurucakapnya, Wael Alwan juga di Twitter.

Ghouta Timur merupakan kubu kuat pemberontak yang terletak di pinggir bandar Damsyik dan berada di luar kawalan kerajaan Syria sejak tahun 2012. Lokasi itu dihuni kira-kira 400,000 penduduk awam. – AFP