Beberapa tanah runtuh berskala besar melanda kawasan kampung berkepadatan rendah yang sebelum ini turut dibadai tau­fan kuat awal minggu ini.

Menurut pihak berkuasa, 33 penduduk masih hilang dan lebih 300 cedera dalam kejadian itu.

Gambar-gambar dari udara menunjukkan berpuluh-puluh rumah musnah di kaki sebuah bukit akibat ditimbus tanah runtuh dengan helikopter penyelamat bergegas memindahkan penduduk.

Kira-kira tiga juta buah rumah bergelap selepas gempa bumi merosakkan janakuasa termal utama yang membekalkan tenaga di wilayah itu.

Janakuasa nuklear Tomori di Hokkaido yang tidak beroperasi sebelum gempa berlaku terpaksa dihidupkan dalam kea­daan tenaga sokongan kecemasan bagi mengekalkan fungsi sistem penyejukannya, lapor stesen televisyen NHK.

Kazuo Kibayashi, 51, yang merupakan seorang pegawai di bandar Abira yang terjejas teruk memberitahu: “Ia (gempa bumi) berlaku secara tiba-tiba dengan gegaran kuat. Saya rasa ia bergoncang ke kiri dan kanan, bukan atas dan bawah selama dua hingga tiga minit.

“Ia berhenti sebentar sebelum goncangan bermula sekali lagi. Saya rasa ia berlaku dua kali. Saya berusia 51 tahun dan tidak pernah berhadapan kea­daan seperti ini. Saya fikir rumah saya akan roboh.

Kira-kira 20,000 anggota penyelamat telah dikerahkan ke tempat kejadian, kata jurucakap kerajaan, Yoshihide Suga. – AFP