Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia menerusi laman webnya, gempa bumi yang berlaku pada pukul 11.47 malam waktu tempatan itu berpusat di 11 km barat daya Tasikmalaya, diikuti beberapa gempa susulan pada pukul 12.05 pagi (3.3 skala Richter di 48 km barat daya Tasikmalaya), 12.08 pagi (3.7 skala Richter di 50 km barat daya Tasikmalaya) dan 12.37 pagi (3.1 skala Richter di 48 km barat daya Tasikmalaya).

Amaran tsunami itu menyebabkan ramai penduduk bergegas ke kawasan tinggi, bagaimanapun, amaran berkenaan ditarik balik pada pukul 2.26 pagi tadi.

Gegaran dilaporkan turut dirasai hingga ke Depok di Jakarta selatan, Bandung dan Yogyakarta.

Sementara itu, agensi berita Antara melaporkan seorang lelaki berusia 62 tahun maut di Ciamis di daerah Tasikmalaya   selepas rumahnya dilaporkan roboh akibat kejadian gempa berkenaan.

Media tempatan dalam talian juga melaporkan sekurang-kurangnya tujuh buah rumah rosak teruk di kawasan Tasikmalaya.

Sebuah hospital di Banyumas turut dilaporkan terjejas akibat kejadian gempa itu. - Bernama