Pihak berkuasa tidak dapat mengesahkan berapa ramai penduduk masih hilang selepas gegaran kuat bermagnitud 6.4 itu berlaku lewat kelmarin.

Setakat semalam, usaha menyelamat tertumpu di bangunan kediaman Yun Tsui yang turut menempatkan sebuah restoran, beberapa kedai dan sebuah asrama.

Bangunan setinggi 12 tingkat itu senget, manakala beberapa tingkat bawahnya terperosok ke dalam tanah.

Agensi bomba kebangsaan berkata, seramai 143 penghuni bangunan itu masih gagal ditemui, namun tidak jelas sama ada mereka terperangkap ataupun sebaliknya.

“Saya melihat tingkat pertama bangunan itu tenggelam ke dalam ta­nah. Bangunan itu menjadi condong dengan tingkat empatnya menjadi tingkat pertama,” kata penduduk setempat Lu Chih-son, 35, yang menyaksikan 20 orang berjaya diselamatkan.

Seorang penghuni ba­ngunan itu, Chen Chih-wei berkata, dia sedang tidur di apartmennya di tingkat paling ketika gempa bumi berlaku.

“Bayangkan, katil saya menjadi tegak, saya sedang tidur dan tiba-tiba, saya se­perti berdiri,” katanya.

Chih-wei, 80, berkata, dia menyelamatkan diri dengan merangkak keluar ke balkoni sementara menunggu pasukan penyelamat tiba.

Tambahnya, gempa itu adalah antara yang terkuat selama 50 tahun dia tinggal di Hualien.

Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen melawat tapak bangunan itu pagi semalam di mana anggota-anggota penyelamat menggeledah setiap bilik untuk mencari mangsa terperangkap.

“Ini masa untuk usaha menyelamat, keutamaan kami adalah menyelamatkan nyawa orang ramai,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Selain bangunan kediaman tersebut, lima bangunan lain termasuk sebuah hospital dan hotel turut rosak.

Pihak bomba berkata, enam orang maut dan lebih 225 cedera dalam gempa kali ini.

Hualien merupakan destinasi pelancong paling popular di Taiwan. – AFP