Gempa itu melanda wilayah Kermanshah lewat kelmarin dengan pusat gegaran terletak 17 kilometer ke barat daya bandar Sarpol-e Zahab, demikian menurut institut geofizik Iran.

Stesen televisyen Iran yang memetik perkhidmatan kecemasan, melaporkan bahawa seramai 716 orang cedera tetapi tiada kematian atau kerosakan besar berlaku.

Stesen televisyen berkenaan menyiarkan imej dinding di beberapa kediaman retak tetapi menyatakan, hanya 33 mangsa yang cedera masih lagi dirawat di hospital setakat pagi semalam.

Gempa awal yang berlaku pada kedalaman tujuh kilometer di bawah tanah itu disusuli sebilangan gegaran susulan termasuk gegaran bermagnitud 5.2.

Pegawai Persatuan Bulan Sabit Merah Iran, Morteza Salimi berkata, kebanyakan kecederaan kelmarin berpunca daripada insiden rempuhan ketika orang ramai bertempiaran melarikan diri apabila gempa berlaku.

Beberapa wartawan agensi berita AFP melaporkan bahawa gempa itu turut dirasai di ibu kota Iraq, Baghdad.

Menurut Morteza kelmarin, gempa terbaharu itu menggegarkan kawasan yang dibina semula selepas gegaran kuat bermagnitud 7.3 pada skala Richter melanda pada November 2017, mengakibatkan 620 orang terkorban dan beribu-ribu yang lain cedera.

Pada tahun 2003, gempa bumi kuat bermagnitud 6.3 menggegarkan tenggara Iran dan meranapkan bandar Bam, mengakibatkan sekurang-kurangnya 31,000 orang terkorban. – AFP