Gegaran berpusat di Lombok Timur itu melanda pada kedalaman cetek 7 kilometer dan dapat dirasai di seluruh pulau berkenaan, kata beberapa pegawai.

Bagaimanapun, ia tidak sekuat gempa bumi sebelumnya yang melanda pada awal bulan ini, manakala tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.

“Gempa bumi itu menyebabkan orang ramai panik dan meninggalkan rumah mereka,” kata jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho kepada stesen televisyen Metro TV.

“Tiada laporan mengenai kematian atau kerosakan serius yang diterima tetapi orang ramai trauma,” tambahnya.

Tanah runtuh dilaporkan berlaku di Taman Negara Gunung Rinjani di mana ratusan pendaki terperangkap selepas gempa bumi melanda pada penghujung Julai lalu. Taman itu ditutup selepas bencana tersebut.

Beberapa penduduk berkata, gempa baharu itu dapat dirasai dengan kuat di Lombok Timur.

Gegaran itu turut dirasai di ibu negeri Lombok, Mataram dan pulau berdekatan, Bali.

Gegaran terbaharu itu berlaku dua minggu selepas gempa bumi kuat bermagnitud 6.9 meranapkan berpuluh ribu kediaman, masjid dan premis perniagaan di seluruh Lombok pada 5 Ogos lalu.

Lebih 460 orang terbunuh dan puluhan ribu yang lain cedera dalam bencana tersebut . – AFP