Kebanyakan roket yang dilancarkan oleh pejuang Palestin mendarat di kawasan terbuka, tetapi sekurang-kurangnya dua mengenai bandar Sderot, Israel yang terletak berhampiran Semenanjung Gaza. Kejadian itu menyebabkan siren kecemasan dibunyikan sepanjang malam dan menyaksikan penduduk bergegas lari ke tempat perlindungan bom.

Pasukan perubatan melaporkan sekurang-kurangnya empat orang yang tercedera telah dibawa ke hospital di Israel, termasuk seorang wanita Thailand berusia 30 tahun yang kini cedera.

Mangsa yang terbunuh di Genting Gaza termasuk Enas Khammash, 23, dan anak perempuannya berusia 18 bulan bernama Bayan, demikian menurut Kementerian Kesihatan di wilayah kawalan Hamas.

Mereka terbunuh dalam serangan udara di Jafarawi di tengah Gaza, kata kementerian itu, manakala suaminya pula mengalami kecederaan. Kementerian berkata, Enas juga sedang hamil.

Seorang pejuang Hamas turut terbunuh dalam serangan tersebut, manakala sekurang-kurangnya 12 orang lagi cedera, kata Kementerian Kesihatan.

Kejadian tersebut merupakan keganasan ketiga yang berlaku sejak Julai lalu dan masih tetap berlarutan walaupun terdapat cubaan daripada pihak berkuasa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Mesir untuk melakukan gencatan senjata jangka panjang antara Israel dan Hamas.

Ketiga-tiga kejadian berdarah tersebut menyusuli ketegangan selama berbulan-bulan selepas aksi protes dan pertempuran di sempadan Gaza, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan menghadapi perang keempat antara kedua-dua pihak sejak 2008.

Tentera Israel berkata, pihaknya menyasarkan lebih 140 ‘tapak ketenteraan’ Hamas, termasuk laman ketenteraan dan tapak pembuatan senjata bagi gerakan pejuang Islam tersebut.

Pihak tersebut berkata, Israel telah disasarkan oleh kira-kira 150 buah roket sejak lewat Rabu hingga Khamis. Sebanyak 25 roket berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara. – AFP