Individu yang merakam gambar tidak berwarna itu ialah Christiaan Snouck-Hurgonje dan beliau turut menghasilkan dua buku berjudul Mekka dan Bilder aus Mekka.

Kedua-dua karya itu dihasilkan sewaktu beliau berkhidmat selama setahun setengah di konsulat Belanda di Jeddah pada pertengahan tahun 1880-an. Dia turut menyamar sebagai penganut Islam untuk masuk ke Kota Suci itu dan mengintip penduduk tempatan.

Snouck-Hurgonje pernah mengambil kursus teologi di Universiti Leiden, Belanda sebelum mempelajari bahasa Arab dengan pengkhususan dalam Islam. Dia calon ideal untuk pihak Belanda mengintip golongan bangsawan Indonesia yang tinggal di rantau Teluk.

Pada ketika itu, Syarikat India Timur Belanda rancak meluaskan jajahan ke Indonesia dan memerlukan maklumat risikan membabitkan warga Indonesia yang menjelajah ke Mekah.

Snouck-Hurgonje pernah menulis kepada rakan-rakan tentang kejayaan menipu penduduk tempatan bahawa dia sudah memeluk Islam, namun cendekiawan itu tetap mengikuti gaya hidup orang Islam.

Kejayaan meyakinkan penduduk tempatan sekali gus menjadikan dia ilmuan Barat pertama yang dibenarkan masuk ke kota Mekah.

Umat Islam di Asia Barat dan Indonesia mengenali Snouck-Hurgonje dengan nama Abdul Ghaffaar.

Bagaimanapun, menjelang permulaan musim haji, Snouck-Hurgonje terpaksa melarikan diri selepas satu khabar angin disebarkan Kedutaan Perancis bahawa dia mencuri artifak purba, lapor jurnal Eurasia Review.

Sebaik pulang ke Belanda, dia me­nyiapkan bukunya dan menjadi terkenal di seluruh dunia sebagai seorang pakar budaya ketimuran. – Agensi