Lahir pada 21 Julai lalu, ‘Garlic baharu’ tersebut dihasilkan oleh firma China, Sinogene dan merupakan kucing pertama yang berjaya diklon oleh syarikat tersebut.

Firma pengklonan haiwan peliharaan itu sehingga kini menghasilkan lebih 40 anjing klon menerusi prosedur yang menelan belanja 380,000 yuan (RM223,000), manakala harga bagi mengklonkan seekor kucing pula adalah kira-kira 250,000 yuan (RM147,000).

Ketua Pegawai Eksekutif Sinogene, Mi Jidong memberitahu agensi berita AFP bahawa walaupun harga tersebut mahal, bukan semua pelanggan mereka terdiri daripada golongan berpendapatan tinggi.

“Bahkan, sebahagian besar pelanggan kami merupakan eksekutif muda yang menamatkan pengajian beberapa tahun lalu,” katanya.

“Pengklonan haiwan peliharaan menepati keperluan emosi generasi muda tersebut,” tambahnya.

Yu, 23, begitu gembira apabila pertama kali melihat klon Garlic dan menyatakan bahawa ‘kedua-dua kucing itu lebih daripada 90 peratus sama’.

“Apabila Garlic mati, saya sangat sedih. Saya tidak dapat menerima hakikat kerana ia berlaku secara mengejut. Saya menyalahkan diri sendiri kerana tidak sempat membawa kucing itu ke hospital,” kata pemuda tersebut.

Menurut satu laporan oleh Pet Fair Asia dan laman web Goumin.com, perbelanjaan ber­kaitan haiwan peliharaan di China mencecah 170.8 bilion yuan (RM100.3 bilion) pada tahun 2008. – AFP