Jabatan Kesihatan (DOH) menghentikan penggunaan vaksin denggi keluaran Sanofi pada Jumaat lalu selepas syarikat itu berkata, penggunaannya terhad berikutan bukti ia boleh mengakibatkan penyakit itu bertambah buruk kepada mereka yang tidak pernah terkena jangkitan denggi.

“Kami akan melakukan segalanya untuk menghukum mereka yang bertanggungjawab atas penipuan kesihatan awam ini sehingga mengancam beribu-ribu nyawa kanak-kanak,” kata jurucakap pejabat Presiden, Harry Roque dalam satu kenyataan.

Lebih 730,000 kanak-kanak berumur 9 tahun dan ke atas menerima satu dos vaksin itu, Dengvaxia pada tahun lalu. Program imunisasi itu seiring dengan saranan kempen vaksinasi massa oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia melibatkan negara-negara yang mencatatkan epidemik denggi, kata beberapa pegawai kesihatan pada Jumaat lalu.

Walaupun demam denggi tidak serius seperti malaria, penyakit itu merebak dengan pesat di beberapa bahagian di dunia. Virus denggi juga membunuh kira-kira 20,000 orang setahun dan menjangkiti ratusan ribu yang lain.

Walaupun Dengvaxia merupakan vaksin denggi pertama yang diluluskan penggunaannya, saintis-saintis mengakui ia tidak sempurna dan tidak melindungi secara sama rata terhadap empat jenis virus denggi dalam ujian klinikal.

Analisis baharu daripada data ujian klinikal selama enam tahun menunjukkan vaksin Dengvaxia memberikan manfaat perlindungan terhadap demam denggi kepada mereka yang pernah dijangkiti.

Namun, menurut Sanofi, jangkitan lebih teruk boleh berlaku kepada mereka yang tidak pernah dijangkiti denggi tetapi diberikan vaksin Dengvaxia sekiranya mereka menghidap denggi pada masa akan datang. – Reuters