Pembuat dokumentari Itali menghabiskan masa selama 18 bulan bercakap dengan bekas tentera kanak-kanak dan balu militan Daesh untuk filem bertajuk ISIS, Tomorrow. The Lost Souls of Mosul yang ditayangkan pada Festival Filem Venice kelmarin.

Filem itu memaparkan bahawa apa yang ditemui di dalam runtuhan yang musnah di Mosul, bandar kedua terbesar di Iraq, ialah ideologi ganas Daesh masih hidup.

Sementara komitmen pengikut yang sanggup mati dalam kumpulan itu kian mendalam dan militan sedang mencari generasi anak-anak yang mereka indoktrinasikan untuk membalas dendam terhadap Barat dan pihak berkuasa Iraq.

“Hari ini milik awak, esok milik kami,” kata seorang balu militan Daesh yang dipercayai terbunuh kepada pembuat dokumentari itu.

Satu perarakan anak-anak muda yang sebahagiannya hilang anggota badan dalam pengeboman tentera pakatan berkata, mereka bersedia untuk mati demi Daesh.

“Mereka yakin bahawa kekalahan ketenteraan dan geografikal tidak bermakna apa-apa, jadi indoktrinasi kanak-kanak berterusan,” kata Pengarahnya, Alessio Romenzi yang mula menjalani penggambaran filem itu bersama Francesca Mannochi ketika pertempuran di Mosul masih berlaku.

Bagaimanapun, hanya sedikit bekas militan atau penyokong Daesh telah bertaubat. – AFP