FTC menyatakan denda itu adalah paling besar dikenakan ke atas mana-mana syarikat kerana melanggar hak privasi pengguna dan merupakan antara penalti terbesar pernah ditaksirkan kerajaan AS bagi suatu kesalahan.

Bagaimanapun, dua ahli Parti Demokratik daripada lima anggota FTC menentang keputusan itu de­ngan berkata, perjanjian penyelesaian itu tidak cukup kuat untuk mengubah amalan perniagaan Facebook.

Perjanjian sama menetapkan Face­book perlu mewujudkan satu jawatankuasa hak privasi dalam lembaga pengarah syarikat, dan jawatan itu perlu dilantik oleh sebuah jawatankuasa pencalonan bebas.

Perkara itu akan menamatkan amalan ‘kawalan penuh’ terhadap keputusan berkaitan privasi oleh Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg, menurut kenyataan FTC.

Pengerusi FTC, Joe Simons berkata, penalti itu adalah wajar bagi mengutarakan kebimbangan berkaitan salah guna maklumat peribadi oleh Facebook.

Di bawah perjanjian itu, ketua pegawai eksekutif Facebook dan kakita­ngannya perlu menyerahkan laporan kepada FTC empat bulan sekali bahawa syarikat itu mematuhi program privasi dikenakan, dengan laporan tahunan.

Peguam Facebook, Colin Stretch dalam kenyataan berkata: “Perjanjian itu membawa perubahan penting dalam pendekatan cara kami bekerja dan ia akan meletakkan tanggungjawab tambahan ke atas mereka yang membina produk kami di semua pe­ringkat dalam syarikat.”

Hukuman ke atas Facebook itu dibuat selepas media sosial itu me­ngakui bahawa data berjuta-juta penggunanya dicuri syarikat perunding, Cambrigde Analytica pada 2016 untuk kempen pilihan raya Donald Trump. – AFP