Duta Khas, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Myanmar, Christine Schraner Burgener bertemu dengan pelarian-pela­rian tersebut semasa lawatan ke Bangladesh pada minggu lepas selepas menghadiri persidangan damai di Myanmar.

Beliau juga bertemu dengan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina dan pegawai kanan lain.

Burgener dalam satu kenyata­an telah menggariskan kepen­tingan pelarian-pelarian tersebut pulang ke rumah mereka secara sukarela, selamat, bermaruah dan lestari.

Keadaan di Rakhine memerlukan penyelesaian politik dan bantuan antarabangsa yang lebih besar terhadap pelarian dan komuniti tuan rumah dalam menangani keadaan buruk yang dihadapi mereka, katanya.

Beliau menambah, PBB menyokong memorandum persefahaman yang telah ditandatangani oleh kerajaan Myanmar, Program Pembangunan PBB dan Pesuruhjaya Tinggi PBB Untuk Pelarian (UNHCR) sebagai langkah pertama yang pen­ting.

Burgener berkata, keutamaannya adalah untuk membantu menangani punca krisis melalui pelaksanaan cadangan Suruhanjaya Penasihat di ne­geri Ra­khine, khususnya bagi menamatkan sekatan terhadap hak-hak asas seperti kebebasan bergerak dan menyelesaikan masalah kewarganegaraan.

“Ini merupakan detik cemas bagi semua pihak berkenaan untuk mengambil langkah-langkah konkrit ke arah matlamat ini. PBB bersedia untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran yang relevan dalam hal ini,” katanya.

Pada Jun lalu, Kesatuan Perusahaan untuk Penempatan Se­mula dan Pembangunan Kemanusiaan di Rakhine mengeluarkan laporan yang menyatakan kerajaan telah mengeluarkan lebih 2,200 keping kad pengesahan kebangsaan, dan kira-kira 300 orang telah menerima pengiktirafan kewarganegaraan.

Menurut UNHCR, lebih 700,000 pelarian beragama Islam telah melarikan diri daripada keganasan terbaru di Myan­mar. – Bernama