Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, seramai 620,000 pelarian Rohingya tiba di Bangladesh sejak Ogos lalu dan kini terpaksa tinggal dalam keadaan kotor dan daif di kem pelarian terbesar di dunia selepas tindakan keras tentera di Myanmar.

Selepas beberapa bulan bergelut dengan isu itu, pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi dan Menteri Luar Bangladesh, A.H. Mahmood Ali memeterai satu perjanjian di ibu kota Myanmar di Naypyidaw kelmarin.

Dhaka berkata, mereka bersetuju untuk memulakan penghantaran pulang pelarian ke Myanmar dalam tempoh dua bulan.

“Satu kumpulan kerja akan ditubuhkan dalam tiga minggu bagi mempersetujui urusan itu.

“Ia merupakan satu langkah penting. Mereka akan menerima semula etnik Ro­hingya. Kami mula be­kerjasama,” kata Mahmood kepada wartawan di Nay­pyidaw.

Kemiskinan dan kesesakan pelarian di Bangladesh menyebabkan negara itu menerima pujian antarabangsa kerana membenarkan etnik Ro­hingya memasuki sempadan negara berkenaan.

Perjanjian itu dimeterai beberapa hari selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson menemui Suu Kyi di Myanmar minggu lalu. – AFP