Tindakan bertentangan Trump itu mengakhiri kekaburan AS selama tujuh dekad mengenai status Kota Suci itu yang dituntut dengan lantang oleh kedua-dua pihak iaitu Israel dan Pa­lestin.

Trump berkata, perkara itu menca­tat permulaan pendekatan baharu bagi menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

“Israel merupakan sebuah negara berdaulat dan mempunyai hak seperti negara berdaulat yang lain untuk menentukan ibu negaranya sendiri,” kata Trump dalam ucapan di White House kelmarin.

“Inilah masanya untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel secara rasmi,” katanya.

Tindakan itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat Palestin dan negara-negara yang menyokong mereka.

Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) mengumumkan mogok dalam bantahan di seluruh Tebing Barat semalam, manakala Hamas, gerakan Islam Palestin yang mentadbir Semenanjung Gaza menggesa ‘hari kemarahan’ pada hari ini.

Hamas memberi amaran bahawa Trump telah membuka ‘pintu neraka’ bagi mencapai kepentingan AS di rantau berkenaan.

Arab Saudi semalam menyelar tindakan itu sebagai tidak adil dan tidak bertanggungjawab, selain mengatakan ia menentang sejarah dan hak mutlak rakyat Palestin.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata, langkah Trump itu bukan sahaja menyedihkan, malah memberi makna AS telah menarik diri sebagai penaja proses damai.

Britain menggambarkan tindakan Trump sebagai tidak membantu dan Perancis menggelarnya sebagai suatu yang ‘dikesali’. Jerman berkata, tidak akan menyokong keputusan Trump. 
– AFP