Keputusan itu mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa seminggu selepas pihak tentera dituduh melakukan penghapusan etnik.

Wa Lone, 32, dan Kyaw Soe Oo, 28, yang ditahan di penjara Insein, Yangon sejak mereka ditangkap pada Disember tahun lalu, didakwa melanggar Akta Rahsia Rasmi iaitu undang-undang keras era penjajahan British yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun.

Kes tersebut mencetuskan bantahan masyarakat antarabangsa dan dianggap sebagai usaha rejim Myanmar untuk menghalang liputan mengenai tindakan kejam pasukan keselamatan terhadap penduduk minoriti Rohingya di negeri Rakhine pada tahun lalu.

Operasi tentera Myanmar memaksa lebih 700,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dengan membawa pelbagai kisah kekejaman termasuk penderaan, pemerkosaan dan perbuatan membakar harta benda oleh polis dan tentera Myanmar. – AFP