Sidang kemuncak pada 18 hingga 20 September ini akan menjadi pertemuan ketiga antara Jong-un dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in tahun ini.

Kedua-dua pemimpin itu akan bertemu di ibu negara Korea Utara bagi membincangkan langkah-langkah praktikal untuk melucutkan senjata nuklear di Semenanjung Korea, kata Penasihat Ke­selamatan Kebangsaan Korea Selatan, Chung Eui-yong kepada pemberita.

Eui-yong terbang ke Pyongyang kelmarin bagi menyerahkan surat peri­badi daripada Jae-in kepada Jong-un ketika Seoul mencari diplomasi ‘sepak mula’ yang membawa kepada pertemuan penting antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pemimpin Korea Utara pada Jun lalu.

Pada pertemuan tersebut kedua-dua mereka berikrar untuk melucutkan senjata nuklear di Semenanjung Korea.

Bagaimanapun tiada butiran terperinci dipersetujui pada sidang kemun­cak di Singapura itu.

Pada pertemuan dengan Eui-yong, Jong-un memperbaharui komitmennya untuk mencapai matlamat tersebut, kata media rasmi Korea Utara, KCNA.

“Kedua-dua Korea perlu meneruskan usaha mereka untuk merealisasikan pelucutan nuklear di Semenanjung Korea,” kata Jong-un yang dipetik berkata oleh KCNA.

Ikrar itu dibuat selepas Trump kecewa dengan kekurangan kemajuan dalam perlucutan senjata dan bulan lalu membatalkan lawatan Setiausaha Negara, Mike Pompeo ke Pyongyang selepas Korea Utara dilaporkan menghantar surat tidak menyenangkan kepada pe­mimpin AS. – AFP