Kedua-dua belah pihak ‘bersetuju pada pertemuan tersebut untuk mengadakan sidang kemuncak Korea Utara-Selatan di Pyongyang pada September ini seperti yang dirancang, Yonhap memetik satu kenyataan bersama sebagai berkata tanpa menyebut tarikh sebenarnya.

Lawatan oleh Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in ke ibu kota Korea Utara itu akan menjadi kunju­ngan pertama seumpamanya dalam tempoh lebih satu dekad susulan pemulihan hubungan diplomatik di Semenanjung Korea.

Pada sidang kemuncak pertama antara Jae-in dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Panmunjom April lalu, mereka bersetuju bahawa Presiden Korea Selatan itu akan melawat Pyongyang pada musim bunga.

Sementara itu, perbincangan peringkat tinggi yang diadakan di sebelah utara Zon Bebas Tentera merupakan hasil cadangan Korea Utara pada minggu lalu selepas Pyongyang mengecam Washington kerana meneruskan sekatan ke atas negara komunis itu.

Hubungan semakin pulih antara dua negara Korea itu yang bermula tahun ini memberi laluan kepada pertemuan bersejarah antara Jong-un dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Jun lepas.

AS bagaimanapun terus menggesa masyarakat antarabangsa supaya mengekalkan sekatan ketat ke atas Korea Utara. Baru-baru ini, Seoul mendapati tiga firma Korea Selatan mengimport arang batu dari Korea Utara pada tahun lalu, sekali gus melanggar sekatan tersebut. – AFP