Akaun YouTube, Toys and Little Gaby yang dihoskan oleh Gabrielle, 4, dan abangnya, Alex, 5, kini berada di ranking teratas laman perkongsian video di Britain dengan 10.9 juta pengikut serta 3.6 bilion tontonan.

Saluran tersebut dibuka tiga tahun lalu oleh ibu mereka, Sabine, 28, yang berasal dari Latvia dan kini menjadi pengurus kepada aktiviti dua anaknya itu sepenuh masa di rumah mereka di utara London. Nama keluarga tiga beranak tersebut bagaimanapun tidak didedahkan.

Dengan memberi dedikasi kepada ‘keseronokan kanak-kanak’, saluran YouTube mereka menyajikan permainan, cabaran dan lain-lain aktiviti khas untuk golongan tersebut. Dua beradik itu turut mempunyai sebuah kedai mainan dalam talian, alexandgabytoys.com.

Seorang budak lelaki berusia 8 tahun dari Texas, Amerika Syarikat mendapat pendapatan paling besar daripada YouTube dengan £17 juta (RM91.7 juta) setahun disusuli enam beradik dari California dengan £3 juta (RM16.2 juta) setahun dan seorang remaja 13 tahun dari Pennsylvania dengan £1 juta (RM5.4 juta) setahun. – Agensi