Rangkaian televisyen Fox dan NBC melaporkan keputusan tersebut dam mengesahkan jangkaan bahawa Parti Republikan pimpinan Trump mengekalkan penguasaannya di Dewan Senat.

Keputusan itu mengubah imbangan kuasa di Washing­ton yang sebelum ini me­nyaksikan Trump diberi laluan mudah ekoran dominasi Parti Republikan di kedua-dua dewan Kongres tersebut sejak beliau memenangi pilihan raya Presiden pada tahun 2016.

Susulan kemena­ngan tersebut, Parti Demokrat boleh menghalang rang undang-undang yang diusulkan White House selain menyebabkan Trump tidak senang duduk ekoran siasatan terhadap kewangan beliau dan campur tangan Rusia dalam kempen pilihan raya 2016, malah, parti itu berkemungkinan boleh mengusulkan supaya beliau dipecat.

Keputusan undi melibatkan Dewan Perwakilan dan Senat itu dibuat berdasarkan pengiraan awal di seluruh AS.

Trump menonton keputusan pilihan raya tersebut dari White House bersama rakan dan anggota keluarganya.

Terdahulu, rakyat AS bersemangat untuk mengundi dalam pilihan raya kali ini yang juga digelar pilihan raya Kongres de­ngan barisan panjang dilihat di pusat mengundi dari New York hingga ke California.

“Kami menyaksikan peratusan keluar mengundi yang besar,” kata calon Parti Demokrat, Katie Porter yang bertanding di Irvine, California,” katanya.

Pilihan raya separuh penggal itu menyaksikan semua 435 kerusi Dewan Perwakilan, 35 daripada 100 kerusi Senat dan 35 kerusi Gabenor dipertandingkan. – AFP