Sebuah mahkamah AS mendapati seorang bekas pembantunya itu bersalah atas lapan pertuduhan dan seorang lagi mengaku salah juga atas lapan pertuduhan susulan siasatan berhubung pilihan raya Presiden 2016.

Di New York, rakan lama Trump yang juga seorang peguam, Michael Cohen mengaku bersalah terhadap semua dakwaan itu termasuk membuat sumbangan kempen haram.

Cohen mendedahkan butiran dia membuat pembayaran rahsia kepada bintang filem lucah, Stormy Da­niels dan model Playboy, Karen McDougal. Kedua-duanya mendakwa mempunyai hubu­ngan sulit dengan Trump.

Bagaimanapun, dalam pengakuan sensasinya, Cohen merujuk kepada Presiden AS atau ‘individu 1’ sebagai konconya. Dia mendakwa bertindak di bawah arahan beliau dalam membuat pembayaran tersebut.

Pengakuan itu meletakkan Trump dalam kedudukan bahaya di sisi undang-undang selain menimbulkan prospek bahawa orang kanannya itu bersedia membuka rahsia supaya hukuman penjaranya dikurangkan.

Dalam satu kenyataan kepada media AS, peguam Trump, Rudy Giuliani berkata: “tiada apa-apa tuduhan salah laku terhadap Presiden sabit dakwaan kerajaan terhadap Cohen.”

Peguam Cohen, Lanny Davis menjelaskan anak guamnya berdepan risiko besar kerana ‘menerima peluru’ untuk Trump.

“Dia berdiri dan bersaksi­ bahawa Donald Trump mengarahkannya untuk melakukan jenayah dengan membayar kepada dua wanita untuk tujuan utama mempengaruhi pilihan raya,” kata Davis.

Ketika drama Cohen masih tidak menentu di New York, juri di Virgi­nia mendapati pengerusi kempen Trump, Paul Manafort bersalah terhadap lapan pertuduhan termasuk penipuan bank, cukai dan kegagalan mengisytiharkan akaun bank asing.

Walaupun sudah men­jadi tradisi undang-undang AS bahawa Presidennya tidak boleh dibicarakan, tuduhan tersebut hanya akan meningkatkan gesaan supaya beliau dipecat ketika pilihan raya kong­res yang dijadualkan berlangsung pada November ini semakin hampir. – AFP