Trump memperuntukkan masa kira-kira tiga jam bersama doktor tentera di Hospital Tentera Walter Reed di Bethesda, Maryland dalam pemeriksaan pertama selepas bergelar Presi­den.

“Kesihatan Presiden itu berada dalam keadaan sangat baik dan saya berharap dapat memberikan butiran terperinci pada Selasa ini,” kata doktor White House, Ronny Jackson dalam satu kenyataan ringkas.

Pemeriksaan itu dibuat selepas sebuah buku baharu paling laris dijual menggambarkan Trump, 71, sebagai tidak fokus dan se­perti kanak-kanak.

White House berdepan ba­nyak pertanyaan mengenai mesej yang bercanggah berhubung dasar-dasar utama dan kejadian pada bulan lalu apabila Trump dilihat gagal menuturkan dengan baik beberapa perkataan.

White House bagaimanapun tidak menjelaskan maklumat yang akan didedahkan daripada pemeriksaan kesihatan itu.

Jackson dijangka mengumpulkan soalan berkaitan keputusan pemeriksaan itu daripada pemberita pada Selasa ini.

Presiden AS terdahulu juga pernah menjalani ujian mental semasa dilantik sebagai Presiden termasuk Ronald Reagan yang disahkan menghidap penyakit Alzheimer lima tahun selepas meninggalkan White House.

White House memberitahu bahawa pemeriksaan terhadap Trump itu tidak melibatkan aspek psikiatrik dan hanya menjalani pemeriksaan asas seperti berat, tekanan darah dan kan­dungan kolestrol. – Reuters