Polis menangkap tujuh lelaki di negeri Acre, barat laut Brazil kerana disyaki membunuh beribu-ribu haiwan terancam termasuk jaguar, capybara, babi peccary dan rusa merah.

Menurut beberapa laporan, anggota geng itu yang paling lama dan paling aktif ialah seorang doktor gigi, Temistocles Barbosa Freire. Dia dipercayai membunuh lebih 1,000 ekor jaguar sejak tahun 1987.

Badan bukan kerajaan Brazil, Oeco berkata, polis telah menggodam dan mengintip telefon bimbit serta mengumpulkan gambar dan klip video haiwan yang mereka bunuh.

Sepanjang tiga bulan pengawasan dilakukan, kumpulan tersebut didapati melakukan 11 pemburuan haram dan membunuh lapan ekor jaguar, 13 capybara, 10 anjing liar dan dua ekor rusa.

Sementara itu, Mahkamah Persekutuan Brazil membuka kertas pertuduhan jenayah terhadap mereka kerana memburu menggunakan senjata api tanpa permit.

Antara lelaki lain yang ditangkap termasuk Doria de Lucena Junior (doktor), Sinezio Adriano de Oliveira (pekerja jabatan kehakiman), Gilvan Souza Nunes (petani), Gisleno Jose Oliveira de Araujo Sa (pegawai penjara) dan Manoel Alves de Oliveira (juruteknik elektrik).

Jaguar merupakan spesies kucing paling besar di rantau Amerika Latin dan berada dalam senarai haiwan terancam Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Fauna dan Flora Liar.

Ini bermaksud semua perdagangan antarabangsa melibatkan jaguar dan anggota badannya adalah dilarang.

Pemburuan jaguar diharamkan di Argentina, Brazil, Colombia, Guiana Perancis, Honduras, Nicaragua, Panama, Paraguay, Suriname, Amerika Syarikat dan Venezuela. – Agensi