Sebilangan pesakit doktor berkenaan, Alyona Verdy berkata, mereka mengalami kecacatan, parut kekal, malah ada yang lumpuh selepas dibedah olehnya. Dia juga didakwa menggunakan ijazah palsu.

Wanita yang berumur 36 tahun itu dilihat digari oleh seorang anggota polis lelaki ketika dia dibawa untuk disoal siasat oleh Jawatankuasa Siasatan Rusia selepas ditahan di bandar Krasnodar, selatan Rusia baru-baru ini.

Verdy berdepan aduan rasmi daripada lima wanita setakat ini tetapi pihak berkuasa merayu orang ramai yang pernah menjadi mangsa doktor tersebut agar tampil memberi keterangan.

Seorang pesakit ‘hilang hidungnya’ manakala seorang lagi mengadu bahawa alat sulitnya ‘dinaikkan’ pada kedudukan yang tidak sepatutnya.

“Dia menjahit tempat pembedahan dengan sungguh ketat,” kata seorang bekas pesakit doktor itu.

Verdy atau nama sebenarnya Antonina Gorbunova disiasat kerana memberikan perkhidmatan perubatan tanpa kelayakan dan mendatangkan mudarat terhadap kesihatan atau nyawa manusia.

Dia boleh dipenjara sehingga enam tahun sekiranya didapati bersalah. – Agensi