Polis tempatan juga tidak menolak kemungkinan motif serangan kebakaran itu berkait rapat dengan dendam peribadi lelaki tersebut.

Lelaki itu dikenal pasti sebagai Shinji Aoba, 41, yang mendakwa dia bertanggungjawab membakar studio Kyoto Ani­mation pada Khamis lalu.

Sumber polis berkata, suspek percaya bahawa syarikat produksi animasi itu telah menciplak ideanya.

Hasil siasatan mendapati Aoba yang memakai baju-T berwarna merah dan seluar jean ditangkap selepas kebakaran ber­mula dan suspek me­nuduh syarikat produksi itu ‘mencuri senaskah novel’ hasil karyanya.

“Lesen memandu Aoba menunjukkan dia merupakan penduduk di Saitama­ yang terletak berhampiran Tokyo dan suspek memberitahu, dia tiba ke Kyoto dengan menaiki tren,” ujar sumber tersebut.

Lelaki itu dirawat di sebuah hospital akibat kecederaan kebakaran pada muka, dada dan anggota badan lain. Pendedahan identiti suspek adalah sesuatu tindakan luar biasa oleh polis Jepun memandangkan lelaki itu belum ditahan secara rasmi.

Polis masih menunggu Aoba untuk sembuh sebelum membuat penahanan.

Suspek dipindahkan ke sebuah hospital di wilayah Osaka menggunakan helikopter semalam untuk mendapatkan rawatan perbuatan lebih baik, kata polis.

Pada pagi Khamis lalu, Aoba didakwa memasuki bangunan studio tersebut dan menjerit ‘mati’ serta mencurah sebaldi cecair mudah terbakar.

Polis percaya suspek membeli minyak petrol di sebuah stesen minyak berhampiran lokasi sera­ngan dan membawa dua tin berkapasiti 20 liter menggunakan troli ke studio itu.

Akhbar Jiji Press pula melaporkan pasukan penyiasat Jabatan Polis Wilayah Kyoto percaya asap dan api marak de­ngan pantas ke bahagian tingkat atas studio melalui tangga pilin melingkar, menghalang pekerja syarikat menyelamatkan diri. Suspek dipercayai membakar tangga berkenaan.

Satu bedah siasat ke atas lima mangsa kebakaran kelmarin mendapati mereka mati akibat kebakaran, menurut sumber siasatan.

Angka kematian me­ningkat kepada 34 orang selepas seorang lagi lelaki yang dirawat di sebuah hospital di wilayah Osaka disahkan meninggal dunia malam kelmarin.

Polis menyatakan 33 mangsa yang disahkan mati adalah kakitangan syarikat berkenaan. Polis masih berusaha mengenal pasti identiti mangsa ke-34. – Agensi