Pengakuan itu disertakan dengan gambar dan rakaman video menunjukkan sekumpulan lelaki yang didakwa Daesh sebagai penyerang yang melakukan pengeboman itu.

Menurut kumpulan militan tersebut, serangan di Colombo itu bertujuan untuk membalas dendam pembunuhan beramai-beramai 50 orang Islam di dua buah masjid di New Zealand bulan lalu.

Pihak berkuasa di Colombo telah menuding jari terhadap kumpulan ekstremis tempatan dikenali sebagai Jemaah Tauhid Nasional (NTJ), namun masih menyiasat sama ada kumpulan itu mendapat sokongan pengganas antarabangsa.

“Mereka yang melakukan serangan menyasarkan anggota-anggota pakatan diketuai Amerika Syarikat dan penganut Kristian di Sri Lanka pada Ahad lalu ialah pejuang Daesh,” kata agensi propaganda milik kumpulan militan tersebut, Amaq dalam satu kenyataan.

Kumpulan Daesh kemudian memberi nama samaran kepada tujuh penyerangnya yang terlibat dalam serangan terhadap penganut Kristian itu.

Amaq turut menyiarkan gambar lapan lelaki yang dikatakan menjadi penyerang. Tujuh daripada mereka menutup muka dan tiga orang menghunus pisau.

Kesahihan gambar serta klip video itu tidak dapat dipastikan, manakala punca perbezaan dalam jumlah penyerang yang dilaporkan juga tidak jelas.

Sumber polis Sri Lanka memberitahu agensi berita AFP bahawa dua adik-beradik lelaki yang merupakan anak kepada hartawan rempah Colombo telah meletupkan diri mereka di Hotel Shangri-La dan Cinnamon Grand.

Hotel The Kingsbury di ibu negara Sri Lanka itu adalah yang terakhir diserang.

Serangan keempat ke atas sebuah hotel pada Ahad lalu gagal, kata sumber sama, namun tidak dapat dipastikan sama ada bahan letupan pengebom gagal berfungsi atau dia memilih untuk tidak meletupkannya.

Penyerang tersebut kemudiannya meletupkan diri apabila polis menjejakinya di sebuah rumah penginapan di Colombo. – AFP