Cubaan membunuh Pre­siden Venezuela dengan menggunakan sebuah dron membawa bahan letupan itu disahkan oleh kerajaan sebagai mence­derakan tujuh askar.

Serangan berlaku semasa Maduro menghadiri perarakan tentera di Caracas.

Sebuah kumpulan menggelarkan diri mereka ‘Gerakan Nasional Askar Berpakaian Awam’ mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan tersebut.

“Adalah bercanggah dengan maruah tentera untuk mengekalkan kerajaan yang bukan hanya melupakan Perlembagaan, malah, menjadikan jawatan alat untuk mengumpul kekayaan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan tersebut dihantar kepada wartawan propembangkang yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Patricia Poleo. Dia kemudian memuat naik kenyataan itu di saluran YouTube miliknya.

“Kami tidak boleh menerima bahawa rakyat menderita kelaparan, pesakit tidak mempunyai ubat, mata wang negara tiada nilai ataupun sistem pendidikan bukan lagi berfungsi untuk mendidik tetapi hanya mengajar doktrin komunis.

“Rakyat Venezuela, sedarlah bahawa untuk menjayakan perjuangan ini, kita perlu keluar ke jalan-jalan raya tanpa berpatah balik,” tambah ke­nyataan sama.

Sementara itu, Maduro me­nuduh negara jirannya, Colombia dan ‘penaja kewangan’ tidak dikenali di Amerika Syarikat (AS) sebagai dalang serangan itu, manakala beberapa pegawai menyalahkan pihak pembangkang Venezuela. Colombia pula menafikan sebarang pembabitan dalam cubaan bunuh tersebut.

Maduro berkata, beberapa orang yang terlibat telah ditangkap dan siasatan akan dilancarkan.

Terdahulu di laman Twitter, kumpulan pemberontak itu menyatakan bahawa ia terdiri daripada kakita­ngan tentera dan orang awam yang setia kepada rakyat Venezuela. Matlamat mereka adalah untuk menyelamatkan sistem demokrasi daripada tumbang di bawah pemerintahan diktator Maduro. – AFP