Selepas salji tebal turun dan ribut salji membadai Eropah, keadaan bertambah baik di sesetengah wilayah kelmarin, namun suhu secara amnya kekal di bawah paras beku memaksa kebanyakan pengangkutan di jalan raya, stesen kereta api dan lapangan terbang ditunda.

Pejabat Kaji Cuaca Britain bagaimanapun berkata, suhu Artik dijangka meningkat.

“Selepas cuaca ekstrem melanda kebanyakan negara, keadaan itu dilihat semakin baik dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya.

Di Perancis, ramalan cuaca pada minggu ini menjangkakan hujan turun lebih banyak berbanding salji tebal yang menyelimuti Eropah.

Kematian akibat cuaca sejuk melampau berpunca daripada tiupan angin sejuk dari Siberia yang digelar media Britain sebagai Raksasa Dari Timur.

Sepanjang minggu lalu, kea­daan suhu beku meragut lebih daripada 60 nyawa, menurut laporan agensi berita AFP me­rangkumi 23 di Poland, Slovakia (7), Republik Czech (6) dan Li­thuania (5). Kematian lain turut dicatatkan di Sepanyol, Itali, Romania, Serbia, Slovenia, Britain, Belanda, Sweden dan Norway.

Perancis menyaksikan sembilan kematian disebabkan cuaca, termasuk empat pemain ski terbunuh akibat runtuhan salji pada Jumaat lalu di pergunu­ngan Alps.

Switzerland turut menyaksikan penurunan suhu sehingga -40 darjah Celsius ketika ribut salji.

Lapangan terbang Geneva mengumumkan akan dibuka semula secepat mungkin selepas tengah hari kelmarin akibat ‘keadaan cuaca yang tidak dapat dielakkan’.

Di Ireland, lapangan terbang Dublin terus ditutup selewat-lewatnya hingga semalam, manakala lebih 24,000 orang bergelap kerana putus bekalan elektrik pada pagi kelmarin.

Itali pula terus berada pada suhu di bawah paras beku de­ngan kebanyakan jalan raya utama ditimbuni salji serta ais hitam dan pakar ramalan cuaca menjangka wilayah utara dan tengah negara itu dilihat bertambah baik sedikit.

Kebanyakan sekolah masih ditutup dan pihak berkuasa tempatan memberitahu penduduk supaya terus berada di dalam rumah kecuali jika betul-betul mempunyai urusan penting untuk keluar.

Sebuah kampung kecil di te­ngah Norway, Folldal, merekodkan suhu rendah -42 darjah Celsius selama beberapa hari pada waktu malam. – AFP