Mangsa maut apabila sebuah kereta terbabas dari jalan raya lalu merempuh sebuah rumah.

Pejabat Meteorologi mengeluarkan amaran peringkat merah pertama, menandakan bahaya yang boleh mengancam nyawa kepada penduduk England dan memberi amaran bahawa lebih ramai orang dikhuatiri terkorban ketika angin Artik dikenali sebagai “Raksasa dari Timur’ bertembung dengan ribut Emma yang membadai dari Lautan Atlantik.

Amaran peringkat merah itu juga diperluaskan ke selatan Wales.

Rakyat Britain dinasihatkan tidak melakukan perjalanan kecuali jika benar-benar perlu ketika suhu di bawah paras beku dan salji tebal memasuki hari ketiga kelmarin.

Orang ramai juga diminta bersiap sedia menerima salji tebal sehingga 50 sentimeter ketika ribut Emma memburukkan lagi keadaan selepas ribut Artik membadai Britain sejak beberapa hari lalu.

Lapangan-lapangan terbang di Britain terpaksa ditutup sekali gus menyebabkan beratus-ratus penerbangan terpaksa dibatalkan. Perkhidmatan kereta api juga dibatalkan dan sekolah ditutup, manakala banyak lebuh raya tidak dapat dilalui kerana dilitupi salji tebal.

Terdahulu, kerajaan mengarah pasukan tentera membantu pihak polis dalam menangani impak ribut itu.

Sementara itu, di Scotland, ratusan pemandu terkandas sepanjang malam berikutan jalan raya dilitupi salji tebal. Kira-kira 1,000 pemandu terkandas 13 jam di Lebuh Raya M80 dekat Glasgow. Ramai antara mereka bermalam di dalam kenderaan, manakala sebahagian lagi meninggalkan kereta masing-masing di lebuh raya. – Bernama